UCAPAN MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEEMPAT BELAS

7-13 NOVEMBER 2014

OLEH:
YB LIEW CHIN JIN @ CHRISTINA LIEW AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH
N.15 API-API

TAJUK: ISU PERUMAHAN RAKYAT

Full Text

Tuan speaker,

Saya ingin mengemukakan, aspirasi rakyat untuk memiliki sebuah rumah kini merupakan satu impian yang agak susah dicapai di kalangan orang ramai, khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Ini adalah kerana harga rumah kini semakin melambung tinggi, khususnya di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu dan kawasan-kawasan berhampiran seperti Penampang, Putatan dan Inanam.

Tuan Speaker,

Saya sedar bahawa kerajaan persekutuan telah/sedang mengimplementasikan pelbagai skim perumahan mampu-milik di seluruh negara. Antaranya ialah seperti skim Rumah Mampu Milik and Rumah Mesra Rakyat yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB); skim PR1MA di bawah Pejabat Perdana Menteri Malaysia; dan juga skim MyHome yang memperuntukkan subsidi kepada individu yang layak untuk membeli rumah tertentu dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Namun demikian, usaha-usaha tersebut masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di Sabah, khususnya di kalangan generasi muda.

Tuan Speaker,

Bagi mereka yang bernasib baik terdapat membeli rumah mampu-milik, yang biasanya dibina di kawasan yang jauh dari bandar, mereka terpaksa membeli kereta untuk bertolak-alih ke tempat kerja yang biasanya berdekatan dengan kawasan bandar. Ini adalah disebabkan oleh sistem pangangkutan awam yang sedia ada kurang memuaskan. Ini sudah pasti membebankan lagi kewangan mereka bukan saja dari segi bayaran ansuran setiap bulan untuk pinjaman membeli rumah, tapi juga dari segi bayaran bulanan untuk pinjaman beli kereta, perbelanjaan untuk petrol, parking, dan kos pengendalian semasa (periodic maintenance). Dan memandangkan kos saraan hidup di Sabah adalah jauh lebih tinggi dan gaji pula lebih rendah berbanding dengan Semenanjung Malaysia, rakyat Sabah terpaksa berbelanja dengan lebih berhemah.

Tuan speaker,

Kajian dan pengumpulan data yang dibuat oleh pejabat saya baru-baru ini menunjukkan ramai pasangan suami isteri yang bekerja di sector awam/swasta dengan pendapatan bergabung sekitar RM4,500 dengan seorang anak bersekolah rendah/tadika, tidak mampu memiliki rumah sendiri atas sebab-sebab tersebut, dan terpaksa kekal tinggal bersama ibu-bapa mereka, atau pun menyewa rumah atau apartment yang berhampiran dengan tempat kerja mereka.

Ramai di antara mereka juga merungut tentang harga barangan keperluan harian (makanan terutamanya), yang meloncat tinggi. Mereka juga bimbang kehidupan mereka akan lebih tertekan apabila Goods and Services Tax (GST) dilaksanakan pada 1 April, 2015 dan percaya ini akan memudaratkan lagi pelambungan harga barangan. Oleh yang demikian, saya menyeru Kerajaan Negeri supaya membawa isu Polisi Kabotaj yang telah lama dikenalpasti sebagai punca utama kepada harga barangan dan servis yang lebih tinggi di Sabah berbanding dengan Semenangjung Malaysia, kepada perhatian Kerajaan Persekutuan, untuk dikaji semula dan dimansuhkan sekiranya tiada cara penyelesaian yang lebih berkesan.

Tuan Speaker,

Sudah tiba masanya Kerajaan Sabah membentuk suatu Polisi Perumahan Rakyat yang komprehensif lagi efektif dnegan isu perumahan yang kini semakin runching di Sabah. Bagi permulaan, agensi Kerajaan Negeri seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) membina rumah mampu milik sahaja, sama ada untuk disewa atau dibeli oleh rakyat yang benar-benar berkelayakan. Sebagai sebuah agensi kerajaan, LPPB berkewajipan untuk membantu Kerajaan Negeri untuk memperuntukan perumahan subsidi kepada golongan rakyat yang berpendapatan rendah. LPPB seharusnya menggunakan tanah yang dimilikinya unuk tujuan tersebut. Maka, adalah amat sesuai sekali bagi LPPB membantu Kerajaan Negeri membina rumah mampu-milik untuk rakyat Sabah yang berpendapatan rendah. Ini sudah tentu akan menampung usaha Kerajaan Persekutuan dalam aspek ini.

Tuan Speaker,

Ingin juga saya menarik perhatian Dewan yang mulia ini, bahawa ramai juga di kalangan rakyat Sabah yang mengalami masalah untuk mendapat pinjaman dari bank dan institusi kewangan untuk membeli rumah. Apa kata Kerajaan Negeri ambil initiatif untuk mengkaji masaalah ini? Adakah institusi kewangan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, sama ada milik penuh atau sebahagian, memberi pinjaman perumahan kepada mereka yang layak, tak kira samaada mereka dari sektor kerajaan atau pun sektor swasta? Saya yakin, sekiranya Kerajaan Negeri dapat berbuat demikian, ini akan dapat membantu mereka yang layak untuk membeli rumah idaman mereka. Pada kesimpulannya, pembinaan lebih banyak rumah mampu-milik oleh LPPB dan pemberian pinjaman perumahan akan memanfaatkan rakyat Sabah, khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

***